Sabtu, 24 Julai 2021

Pantun Berkasih

Pantun kasih kepada kekasih


Menyemai benih pokok Selasih,

Benih disimpan dimakan Tempua;

Pantun kasih kepada kekasih,

Hamba kongsikan buat semua.


Ikan Sembilang sayur Peria,

Hidangan sahaya di waktu malam;

Kasihnya abang bawa bahagia,

Bagai cahaya menyinari alam.


Lihat pada kawanan serangga,

Sederap berjalan di sawah padi;

Kasihnya dinda bawa ke syurga,

Tujuh turunan kasihmu abadi.


Rasmi Kiambang rasmi Teratai,

Malar segar sembunyi akar;

Rindukan abang air mata berderai,

Hilang sebentar jiwa gementar.


Songket lawa tenunang Pahang,

Bunga Senduduk corak sulaman;

Rindukan dinda bukan kepalang,

Bagai pungguk rindukan rembulan.

Kalau ditebang buluh muda,

Rebung menyulur tumbuh berganti;

Cinta abang kepada dinda,

Tumbuh subur di dalam hati.


Kelapa muda dikait setandan,

Lalu diparut dibuat inti;

Cinta dinda tiada ukuran,

Hanya maut bergalang ganti.


Bawa pedang pergi berperang,

Maut mengintai bukanlah gurau;

Sayang abang adinda sorang,

Rasmi pantai menghias pulau.


Dayung sampan di waktu petang,

Dari muara mudik ke hulu;

Bagai bulan dipagar bintang,

Sayang dinda bersinar selalu.


Jika sesat ke Tanah Abang,

Rantau Abang bukanlah muasal;

Jika di kerat kasih dan sayang,

Jiwa tenang berhujung sesal.


Burung Punai di dahan Teja,

Di pohon saga burung Merpati;

Cinta disemai kasih dibaja,

Bersumpah setia sehidup semati.


Sekian, terima kasih.




Pantun Renungan Bahaya COVID-19

Pantun 10 Rangkap 

Tanam mengkuang di tepi pagar, 
Tumbuh rimbun daun berduri; 
Covid benar mati pun benar, 
Sayangilah kita diri sendiri. 

Terbang tinggi si burung helang, 
Burung serindit meniti dahan; 
Covid boleh menyerang orang, 
Juga boleh menumpang badan.

Kayu lempung kayu tumpat, 
Diukir corak bunga kekwa; 
Covid tidak memilih darjat; 
Banyak sudah meragut nyawa.

Buluh patah dibuat titi, 
Rotan pecah jangan dibuang; 
Diluar rumah covid menanti, 
kekal dirumah wabak terhalang.

Kapas dipintal menjadi benang, 
Benang disulam menjadi kain; 
Covid dikawal belumpun tenang, 
Jangan diundang penyakit lain. 

Kacang kuda buat kudapan, 
Ambil semangkok diatas meja; 
Ingatlah pada barisan hadapan, 
Kita berehat mereka bekerja. 

Buah cermai mari dicicah, 
Asam kandis ramuan memasak; 
Masih ramai ingkar perintah, 
Pesakit ramai hospital sesak.

Ayam serama dilepas bebas, 
Sekali sekala sesat ke hutan; 
Batuk,selesema dan sesak nafas, 
Andai bergejala dapatkan rawatan. 

Mekar chempaka malam jumaat, 
Wangi berseri di hujung kepala; 
Yassin dibaca beserta munajat, 
Agar dijauhkan dosa dan bala.

Masak sekata pulut dikukus, 
Daun lirik buat acuan; 
Sekian cerita corona virus, 
Jika baik jadikan panduan.



Bedak Sejuk Tradisional

Proses Pembuatan Bedak Sejuk Secara Tradisional

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera untuk semua sahabat pembaca Jiesa87. 

Bedak sejuk bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat kita dalam menjaga kecantikan wajah, dengan khasiat dan kebaikan yang ada pada bedak sejuk membuatkan penggunaan bedak sejuk kekal releven hingga ke abad 21 ini. Posting kali ini saya akan berkongsikan Proses Pembuatan Bedak Sejuk Secara Tradisional yang telah diamalkan oleh ibu saya sejak dari dahulu lagi:

Langkah pertama

Proses memeram - Proses ini dilakukan dengan merendam beras dengan air ke dalam botol atau bekas kedap udara sehingga beras benar-benar hancur dan lembut. Harus diingat air rendaman beras akan bertindak balas menghasilkan gas dan mengeluarkan bau yang sangat busuk, jadi perlulah ditukar air rendaman beras itu setidak-tidaknya dua minggu sekali sehingga tekstur beras menjadi lembut biasanya akan mengambil masa satu atau hingga tiga bulan. Setelah beras yang direndam telahpun lembut maka sesuailah untuk dibuat adunan.

Langkah kedua

Proses adunan - Proses adunan dimulakan dengan menuangkan beras yang telah direndam dalam botol tadi ke dalam besen atau timba lalu kita hancurkan beras menjadi bancuhan bedak. Ingat sifat beras walaupun telah hancur ia lebih tumpat daripada air jadi untuk memudahkan proses menukar air agar bancuhan bedak kurang berbau kita biarkan dua tiga jam bancuhan akan mendap ke bawah dan air akan jernih di atas permukaan besen atau timba lalu kita tuang air yang tidak digunakan dan gantikan dengan air yang baru.

Langkah ketiga

Proses ketulan - Adunan yang telah kita buat tadi dimasukkan ke dalam kain lalu diikat dan dijemur di luar rumah sehingga kering. Proses ini mengambil masa dua tiga hari untuk kering. Kenapa proses ini dilakukan? Ini kerana proses menitik bedak akan mengambil masa yang lama jadi proses ketulan ini dilakukan agar adunan tetap dalam keadaan yang baik dan tidak rosak.

Langkah keempat

Proses menitik bedak - Bedak sudah boleh dititik dengan menghancurkan ketulan besar tadi dan bancuh dengan air sesuai kadar kelikatannya: 

1. Pastikan bancuhan bedak bertali-tali apabila diangkat dengan sudu.

2. Sediakan kain untuk menitik bedak.

3. Daun pisang dan bilah kelapa untuk digunakan sebagai corong dan acuan bedak sejuk.

4. Sediakan bancuhan yang sesuai waktu yang anda akan tumpukan untuk menitik bedak.

Biasanya proses menitik bedak mengambil masa yang lama dan memerlukan ketekunan. Proses ini dilakukan berulang kali sehingga selesai menitik bedak.

Langkah kelima

Proses menjemur bedak - bedak yang telah siap dititik diletakkan dalam talam dan dijemur diluar rumah selama seminggu bagi memastikan ia benar-benar kering dan bebas daripada pembentukan kulat. Bedak yang dijemur tadi boleh dicampur dengan hirisan daun pandan dan bunga-bungaan seperti bunga Tanjung, bunga Mawar/ros, dan apa-apa sahaja bunga yang mengeluarkan bauan dan tidak bergetah. Setelah proses menjemur bedak itu tadi maka bedak sudah boleh digunakan atau disimpan dalam bekas kedap udara untuk digunakan di masa akan datang.

Sekadar ini perkogsian saya bagi penghasilan bedak sejuk secara tradisional. Di bawah ini saya sertakan video memproses bedak sejuk secara tradisional untuk tontonan sahabat semua. Sekian terima kasih.





Waran Pencen

WARAN PENCEN : SEJARAH PEMBAYARAN PENCEN


Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua rakan-rakan pembaca yang telah berkunjung ke laman Jiesa87. Entry kali ini saya akan berkongsikan Kaedah Pembayaran Pencen pada suatu ketika di era 80an. Mungkin ada diantara kita yang mengetahui dan mungkin tidak bagi generasi baharu. Saya juga berkongsikan kaedah ini berdasarkan hasil simpanan rekod keluarga saya.

Diberi nama Waran Pencen, itulah kaedah/transaksi pembayaran yang dilakukan oleh kerajaan kepada pesara/orang yang telah berpencen setelah berkhidmat di dalam sektor awam. Sebaik sahaja individu berpencen pihak JPA  akan menghantar Waran Pencen ini setiap tahun kepada individu yang berpencen.

Waran Pencen berupa buku seakan-akan buku cek yang hanya mempunyai 12 keping kertas yang telah dicatatkan jumlah bayaran pencen yang tertera pada setiap helaian. Ini juga berbeza mengikut jumlah pencen individu masing-masing. Uniknya Waran Pencen ini walaupun sudah dimiliki oleh individu yang berpencen tetapi mereka tidak boleh mengeluarkan wang pencen tersebut sesuka hati, sebaliknya perlu menunggu tempoh matang atau menuntut pembayarannya setelah cukup bulan. Individu yang memiliki Waran Pencen boleh menunaikan wang pencen itu di bank yang telah disenaraikan oleh pihak JPA. Tidak perlu risau banyak sekali bank-bank yang disenaraikan pada waktu itu.

Jika diteliti agak rumit jugakan transaksi pembayaran ini dilakukan memandangkan orang yang berpencen usianya nungkin antara 58 tahun ke atas kalau muda pun mungkin yang berumur 45 tahun. Tetapi inilah keadah yang terbaik pada masa tu di era 80an yang masih belum ada transaksi online seperti sekarang bukan?. Beruntung generasi yang berpencen sekarang kerana sudah ada transaksi online.

Apapun sekadar ini perkongsian saya berkenaan Waran Pencen, semoga perkongsian ini memberi manfaat dan rujukan untuk kita bersama. Di bawah ini saya kongsikan video yang mungkin lebih jelas apa yang saya ceritakan berkenaan Waran Pencen Semoga berjumpa lagi sekian terima kasih.



Derma Darah

 Setitis Darah Sangat Berharga!!!

Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera kepada semua pembaca, entry kali ini saya akan kongsikan mengenai aktiviti menderma darah. Secara umumnya aktiviti menderma darah bukanlah semudah yang kita bayangkan cuma ianya semudah yang kita lalui. Mengapa saya berkata begitu berikut saya kongsikan kriteria-kriteria seorang penderma darah pada hari pendermaan:

1. Sihat tubuh badan dan telah makan sebelum melakukan aktiviti menderma darah.

2. Berat badan melebihi 45KG. (Saya pernah gagal di tahap ini)

3. Rehat/tidur mencukupi melebihi 5 jam.

4. Tiada masaalah kesihatan.

5. Berumur antara 18 tahun hingga 60 tahun untuk penderma kali pertama.

6. Tidak mengambil ubatan, antibiotik selamat 7 Hari sebelum menderma.

7. Bagi kaum wanita- tidak mengandung/tidak datang haid/tidak menyusukan anak.

8. Bagi yang pernah menderma sekurang-kurangnya melebihi tempoh tiga bulan dari tarikh pendermaan yang lalu.

9. Bersedia mengisi borang penderma darah dan melakukan ujian saringan awal bagi pengkelasan jenis darah seperti kumpulan darah jenis A,B,AB,O,+,-. Sijil yang merekod data darah anda (seperti gambar di bawah) akan dibuka jika anda merupakan penderma kali pertama. Jika pernah menderma bawalah sijil/buku penderma darah setiap kali anda ingin menderma darah.

(*Ini hanyalah antara kriteria-kriteria yang penah saya lalui dan masih perlu rujuk kepada pihak yang berwajib*)

Seterusnya, jika kita telah bersedia dan suka rela untuk menderma jom sama-sama mengunjungi mana-mana Hospital/Pejabat Kesihatan/mana-mana tempat yang mengadakan program untuk aktiviti derma darah (seperti gambar di atas). Sama-samalah kita membantu Tabung Darah Negara. Hari ini mungkin ada insan yang memerlukan dan mungkin suatu masa kita pula yang memerlukan.

Bedak Sejuk Warisan Bonda

Bedak Sejuk Warisan Bonda


Bedak sejuk merupakan warisan zaman berzaman tinggalan nenek moyang kita. 

Bedak sejuk digunakan untuk perawatan muka oleh kaum Hawa juga tidak ketinggalan kuam Adam dengan khasiat yang dipercayai dapat mencantik Dan menyejukkan wajah.

Tidak hairanlah jika bedak sejuk masih bertahan dan diamalkan penggunaannya. 

Bedak sejuk dihasilkan daripada hasil peraman beras selama beberapa bulan dengan menukar air peraman bagi menjaga kebersihan dan kualiti bedak yang akan dihasilkan. 

Setelah beberapa bulan diperam beras akan dibasuh dan diproses untuk sesi menitik bedak.

Tahukah anda pada zaman dahulu menitik bedak sejuk mengambil masa yang lama kerana bedak sejuk dititik dengan menggunakan daun-daun yang dibentuk menjadi seperti kon yang mempunyai lubang bersaiz kecil untuk dititik setitik demi setitik di atas kain.

Kesabaran amat diperlukan, namun zaman berubah waktu dan teknologi kini penghasilan bedak sejuk sudah mula dikomersialkan menggunakan mesin. 

Tidak sekadar itu bedak sejuk yang telah dititik akan dijemur hingga seminggu bagi memastikan ianya benar-benar kering sebelum digunakan. 

Bedak sejuk akan disimpan di dalam bekas yang kedap udara dan disimpan bersama hirisan daun pandan dan bunga-bungaan seperti Bunga Tanjung, Ros, Cempaka dan lain-lain. 




Le Tour De Langkawi

LTDL pada tahun 2016 buat julung kalinya melalui kawasan Pekan Sik bagi laluan Perlis ke Baling. Inilah pengalaman saya melihat secara depan mata kelajuan pecutan pengayuhan para peserta LTDL.




KOSA KATA BAHARU

     KOSA KATA BAHARU NO. KOSA KATA BAHARU DALAM BAHASA MELAYU NO. KOSA KATA BAHARU DALAM BAHASA MELAYU     1. selfie swafoto     35. homes...