Jumaat, 8 Julai 2022

SEJARAH TUNKU ANOM


MAKAM TUNKU ANOM, RAJA NEGERI KUBANG PASU DARUL QIYAM


Assalamualikum wbt dan Salam Sejahtera untuk semua.


Terdapat satu makam diraja yang cukup terkenal di era kegemilangan pemerintahannya yang terletak di Kampung Pulau Pisang, Kubang Pasu, Kedah Darul Aman.


Semasa lawatan saya ke makam berkenaan akan melalui kawasan sawah padi dan makam Tunku Anom terletak di sekitar dua, tiga buah rumah penduduk kampung di situ.


Semasa riwayat hidupnya Tunku Anom banyak berbakti dan berjasa kepada Sultan Kedah yang ke 22 pada masa itu Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II. Beliau pernah dilantik sebagai ketua penghantaran bunga emas atau ufti kepada kerajaan Siam setiap tiga tahun sekali. Oleh yang demikian beliau diberi gelaran "Tunku Paduka Raja Jambangan" 


Ketika Kedah di bawah pentadbiran tentera Siam (1821-1841). Tunku Anom turut berjuang mengetuai serangan gerila menentang Siam. Atas kebijaksanaan beliau akhirnya tentera Siam telah berundur dari Kedah dan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang pada ketika itu dalam buangan di Melaka telah dibenarkan pulang.


Sebagai menghormati dan menghargai bakti dan jasa Tunku Anom dianugerahkan daerah Kubang Pasu yang terdapat 24 mukim dalamnya bermula tahun 1841. Tunku Anom menjadi raja bagi negeri Kubang Pasu Darul Qiyam yang berpusat pentadbiran di Pulau Pisang sehingga mangkat pada tahun 1853.



Sekian, terima kasih.


Jiesa87


Sumber: papan tanda informasi Makam Tunku Anom Pulau Pisang.


PANTUN

 PANTUN ORANG BERILMU


Memang penat mendayung sampan,

  Melawan ombak menuju pantai;

Ilmu ibarat penyuluh kehidupan,

  Itulah tonggak cerdik pandai.


Berwarna ungu bunga senduduk,

  Mekar bersama kuning angsana;

Orang berilmu sifatnya tawaduk,

  Hujahnya fakta bualnya bermakna.


Pergi memburu di waktu pagi,

  Di pinggir hutan mendapat rusa;

Orang berilmu disanjung tinggi,

  Menjadi rujukan setiap masa.


Ayam serama di atas dahan,

  Sedang berkokok terjun ke tanah;

Ilmu berguna jika disimpan,

  Umpama pokok tidak berbuah.


Buluh semantan dibuat galah,

  Mengait mangga berbuah lebat;

Ilmu pengetahuan tidak bernoktah,

  Tuntutlah hingga ke akhir hayat.


Jiesa87

GURINDAM

 Gurindam Martabat Bahasa Melayu


Sungguhlah hebat sebuah nusa,

Makmur rakyatnya pelbagai bangsa.


Megahnya hidup berbilang bangsa,

Darilah jiwa yang menguasai bahasa.


Begitulah agungnya sebuah bahasa,

Penuturnya ramai di antarabangsa.


Bahasa Melayu jika dijunjung,

Seluruh dunia namanya disanjung.


Jika pelancong datang berkunjung,

Bahasa Melayu jadikan penghubung.


Bahasa asing jika dikendong,

Bahasa Melayu hendaklah didukung.


Seperti dayung penggerak perahu,

Begitulah bahasa penggeraknya nahu.


Bahasa kita indahnya nian,

Seloka, gurindam lunak dinyanyikan.


Puji beralas tutur yang santun,

Sanggah bersulam kias dan pantun.


Tidurlah anak dalam buaian,

Syair berlagu ibu dendangkan.


Bahasa yang masyhur di nusantara,

Bawalah bersama ketika mengembara.


Bagaikan rumah bersinar cahaya,

Itulah Dewan Bahasa dan Pustaka.


Al-Quran itu kitab agama,

Kamus Dewan itu kitab bahasa.


Zaman teknologi dihujung jari,

Maklumat bahasa mudah dicari.


Bahasa rojak jangan diamalkan,  

Bimbang bahasa hilang di ingatan.


Adapun berbeza loghat di setiap negeri,

Laras bahasanya tetap dimengerti.


Bahasa Melayu menyatukan kita,

Pembina negara maju dan jaya.


Tidak kaya kerana harta,

Budi bahasa sebagai tahta.


Busana cantik tenunan sutera,

Bahasa yang baik jalinan mesra.


Semakin tinggi mendongak ke angkasa,

Semakin tinggi memartabatkan bahasa.

Sabtu, 2 Julai 2022

KAD RAYA TAHUN 2022

 


Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera kepada semua pengunjung blog Jiesa87.

Topik kali ini adalah berkenaan dengan kad raya. Di zaman teknologi yang serba canggih ini sememangnya ramai diantara kita memilih untuk mengirim perkhabaran, ucapan, berita, dan sebagainya melalui media elektronik yang lebih cepat dan pantas. Tidak terkecuali ucapan hari raya.

Suatu masa dahulu menjelang Syawal sudah ramai generasi pada waktu itu akan mencari kad raya dan setem untuk dikirimkan kepada sanak saudara, sahabat handai mahupun pejabat-pejabat sebagai ganti diri mengucapkan Salam Aidilfitri.

Kini kad raya masih wujud tetapi agak sukar untuk ditemui dengan mudah di kedai-kedai mahupun pasaraya, jika ada mungkin di bandar-bandar besar. Namun ianya bukanlah penghalang kerana masih ada alternatif iaitu belian secara dalam online seperti yang saya lakukan.

Kini kad raya bagi saya bukan lagi ucapan semata-mata tetapi sebagai koleksi yang tidak ternilai harganya, ditambah pula keunikan cetakan yang berlainan setiap tahun menambahkan lagi semangat untuk kita menyimpannya setiap tahun.


Berikut antara kad raya yang saya terima sebagai balasan daripada kiriman saya bagi tahun 2022:

KOSA KATA BAHARU

     KOSA KATA BAHARU NO. KOSA KATA BAHARU DALAM BAHASA MELAYU NO. KOSA KATA BAHARU DALAM BAHASA MELAYU     1. selfie swafoto     35. homes...