Sabtu, 24 Julai 2021

Pantun Berkasih

Pantun kasih kepada kekasih


Menyemai benih pokok Selasih,

Benih disimpan dimakan Tempua;

Pantun kasih kepada kekasih,

Hamba kongsikan buat semua.


Ikan Sembilang sayur Peria,

Hidangan sahaya di waktu malam;

Kasihnya abang bawa bahagia,

Bagai cahaya menyinari alam.


Lihat pada kawanan serangga,

Sederap berjalan di sawah padi;

Kasihnya dinda bawa ke syurga,

Tujuh turunan kasihmu abadi.


Rasmi Kiambang rasmi Teratai,

Malar segar sembunyi akar;

Rindukan abang air mata berderai,

Hilang sebentar jiwa gementar.


Songket lawa tenunang Pahang,

Bunga Senduduk corak sulaman;

Rindukan dinda bukan kepalang,

Bagai pungguk rindukan rembulan.

Kalau ditebang buluh muda,

Rebung menyulur tumbuh berganti;

Cinta abang kepada dinda,

Tumbuh subur di dalam hati.


Kelapa muda dikait setandan,

Lalu diparut dibuat inti;

Cinta dinda tiada ukuran,

Hanya maut bergalang ganti.


Bawa pedang pergi berperang,

Maut mengintai bukanlah gurau;

Sayang abang adinda sorang,

Rasmi pantai menghias pulau.


Dayung sampan di waktu petang,

Dari muara mudik ke hulu;

Bagai bulan dipagar bintang,

Sayang dinda bersinar selalu.


Jika sesat ke Tanah Abang,

Rantau Abang bukanlah muasal;

Jika di kerat kasih dan sayang,

Jiwa tenang berhujung sesal.


Burung Punai di dahan Teja,

Di pohon saga burung Merpati;

Cinta disemai kasih dibaja,

Bersumpah setia sehidup semati.


Sekian, terima kasih.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KOSA KATA BAHARU

     KOSA KATA BAHARU NO. KOSA KATA BAHARU DALAM BAHASA MELAYU NO. KOSA KATA BAHARU DALAM BAHASA MELAYU     1. selfie swafoto     35. homes...